1 Januari 2013 - 07:55

Ribuan rakyat Arab Saudi iring jenazah al-Syahid Al Mathar di pulau Tarout

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Beribu-ribu penduduk dari pulau Tarout, daerah Qatif malam tadi berarak mengiringi jenazah Ahmad Muhammad Al Mathar, berusia 18 tahun yang menjadi mangsa kekejaman terbaru polis regim Saudi.

Aktivis menyatakan perarakan bermula dari pusat kota hingga ke tanah perkuburan Tarout sehinggalah jenazah disemadikan.

Penduduk yang kebanyakannya berpakaian hitam melaung-laungkan slogan "al-Maut li Al Saud" (kematian untuk Al Saud) dan "Al-Sha'b Yurid Isqath Al Saud" (penduduk mahu kejatuhan regim Al Saud). Beberapa orang ulama turut hadir bersama ratusan wanita dan kanak-kanak. Jenazah diarak secara aman tanpa kehadiran pasukan keselamatan.

Setelah solat jenazah, Syeikh Abdul Karim memberikan ucapan perkabungan sambil menggesa penduduk untuk mematuhi undang-undang serta mengekalkan keamanan.

Al Mathar meninggal dunia akibat terkena tembakan yang dilepaskan ejen polis pada hari Khamis lalu. Sebaliknya kenyataan awal pihak berkuasa Saudi menuduh rondaan keselamatan telah diprovokasi sehingga memaksa tembakan dilepaskan. Namun  aktivis membidas kenyataan ini dengan menyatakan Al Mathar gugur syahid setelah tembakan dilepaskan ke arah penunjuk perasaan.

Dengan kematian Al Mathar, korban revolusi Arab Saudi dikatakan meningkat seramai 16 orang sejak kebangkitan penduduk memprotes pemerintahan regim pada tahun 2011.